Sunday, July 27, 2008

Langkawi Pilihan pelayar luar

Menjelang Beijing 2008 ini, semua atlet giat berlatih dengan mencuba pelbagai teknik dan cara yang mempu meningkatkan prestasi mereka. Tapi di sudut ruang yang kecil ni, saya nak memfokus pada sukan Perahu Layar. Baru-baru ini, beberapa kumpulan atlet dari luar negara telah berminat untuk datang ke Malaysia, menjalani latihan mereka di Langkawi.

Adapun dikhabarkan mereka ini dari negara-negara yang mengalami musim sejuk sehinggakan pantai-pantai mereka mampu membuatkan mereka beku (agaknya la). Tapi saya puji mereka kerana mereka bijak mengambil strategi dan inisiatif lain untuk membuat latihan. Maka dengan bangganya Malaysia pun dipilih sebagai destinasi latihan sambil melancong la kiranya ni.

Perkara ini masih dalam perbincangan sebenarnya dan ini akan memberi manfaat kepada atlet negara kita untuk berlatih sama dengan mereka sekiranya perkara ini menjadi kenyataan. Hal ini mampu menyuntik semangat dan meningkatkan prestasi atlet untuk menghadapi Sukan Asia 2010 di Beijing.

Peluang sebegini harus dimanfaatkan oleh atlet negara kita untuk menimba sebanyak mana ilmu dari kedatangan atlet-atlet luar ini disamping merangka strategi untuk menghadapi Sukan Asia 2010.

Kitar Semula sebagai punca pencarian Rakyat Haiti

Rakyat Haiti yang kini berdepan dengan krisis pengangguran dan menurut berita, mereka hanya menerima kurang dari AS$2 sehari menyebabkan mereka terpaksa mencari inisiatif lain untuk menampung kehidupan seharian mereka. Cara yang mereka pilih ialah untuk mencari bahan-bahan yang boleh dikitar semula.

Bahan-bahan seperti besi-besi skrap, botol-botol plastik malahan kereta-kereta yang terbengkalai menjadi sasaran golongan ini untuk dijual ke kilang seperti GS Industries SA, salah sebuah kilang kitar semula terbesar dibandar itu. Kemudian, kilang tersebut akan melebur serta mencairkan bahan-bahan tersebut dan seterusnya dieksport ke negara Amerika dan Asia.

Usaha sebegini seharusnya dicontohi oleh rakyat-rakyat negara kita kerana dengan adanya usaha sebegini, negara kita bukan sahaja dapat mengurangkan kadar longgokan sampah yang tidak dapat dilupus, malahan ia dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dan menjaga alam sekitar kita dari tercemar hasil dari pembakaran terbuka bahan-bahan yang tidak dapat dilupuskan seperti bahan-bahan plastik dan polestrin. (betulkan andai salah eja)

Friday, July 18, 2008

(Off Record) Muhammad Khatamul Anbiya'

Ada sebuah kisah dimana saya sangat tersentuh dengan kehidupan yang sangat sederhana dan sangat zuhudnya Baginda Muhammad SAW. Pernah Aisyah, isteri Baginda menceritakan bagaimana Baginda biasa menghabiskan waktu malam yang panjang dengan menunaikan solat dan beribadah. Kadang-kadang Baginda menyusahkan dirinya sendiri di dalam solat, tidak kira masa dan tempat selain dari menyedari sepenuhnya kebaikan Allah terhadapnya dan kurnia al-Qur'an, yang disampaikan kepada umaat manusia melalui dirinya. Pernah Aisyah bertanya kepada Baginda " Wahai tuan, mengapa tuan bersusah payah mengerjakan Ibadah sehingga pecah-pecah kaki tuan? sedangkan tuan merupakan kekasih Allah dan tuan telah dijaminkan Syurga oleh Allah" Kata Baginda "Apalah kiranya daku menjadi seorang hamba yang bersyukur (pada Allah)".

Bagi Baginda, bagaimanapun panjang pun solat Baginda, namun tetap tidak dapat membalas nikmat dari Allah kepada Baginda atau melahirkan perasaan syukurnya kepada Allah. Baginda menyusahkan diri dengan keterlaluan, sehingga satu hari turunlah ayaat dari surah Thaha : 1-3 yang bermaksud - "Taha! Kami tidak menurunkan al-Qur'an ini kepadamu agar kamu menjadi susah. Tetapi sebagai peringatan bagi ornga yang takut (kepada Allah)" al-ayat...

(dipetik dari buku Kisah Para Nabi, Teladan bagi Orang Berakal. Karangan Ibnu Kathir)

Penantian 21 tahun tercapai jua

Bagi Hasli Izwan Amir Hasan, atlet dalam acara menembak, penantian selama 21 tahun akhirnya memberi membuka ruang kepadanya untuk beraksi sebagai wakil tunggal dari Malaysia untuk acara tersebut. Beliau menyemai impian sejak dari usia 10 tahun lagi setelah teruja dengan kesungguhan idolanya, Sabiahmad Abdul Ahad, penembak negara yang beraksi di Olimpik Los Angeles pada 1984.

Hasli yang kini berusia 31 tahun, berasal dari Ipoh menyatakan bahawa telah pelbagai cabaran yang beliau tempuh sepanjang 21 tahun untuk menempatkan dirinya di tangga ke-11 terbaik dunia dalam acara rapid pistol 25 meter, takhta yang melayakkan beliau untuk bertanding di Olimpik Beijing 2008.

Beliau yang telah banyak meraih kejayaan seperti kejayaan mendapat tempat ke-2 dalam Kejohanan Asia di Kuwait, johan dalam acara tembak tubi di Sukan Komanwel 1998 dan juga di Sukan Sea dalam acara yang sama.

Walaubagaimanapun, menurut beliau, seperti atlet lain, kadang kala beliau menghadapi masalah mengekalkan prestasi yang cemerlang dimana beliau hanya mendapat pingat gangsa di Sukan Komanwel 2006 di Mebourne, Australia.

Kegagalan beliau menyertai Sukan Olimpik Athens 2004 tidak sama sekali mematahkan semangat beliau untuk terus mara dan berusaha mempertingkatkan kebolehannya bagi mencapai impiannya ke Olimpik.

Sifat begini yang harus diambil ikhtibar bagi semua atlet kita di Malaysia, dimana semua atlet kita harus sentiasa bersemangat dan menanamkan azam yang kuat untuk mencapai target yang telah disasarkan sekaligus mengharumkan nama negara kita, Malaysia.

Penantian yang lama, ditambah usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi, InsyaAllah akan membuahkan hasil yang positif. Yang penting, jangan biarkan semangat kita patah dan luntur dek kegagalan dan kekalahan kerana disebalik kegagalan dan kepahitan merasai kekalahan, pasti kan kunjung tiba kemanisan kejayaan hasil dari kegigihan dan kesabaran...

Seni Mempertahankan Diri Satu Keperluan

Generasi muda kini terutamanya remaja dan belia digalakkan mempelajari seni mempertahankan diri sebagai satu asas persediaan menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini ke atas diri mereka. Melalui pemahaman dan mempelajari seni mempertahankan diri, secara tidak langsung ia meningkatkan kepekaan dan lebih berwaspada pada persekitaran di sekeliling mereka.

Seni mempertahankan diri perlu dipelajari oleh remaja mahupun golongan dewasa terutama golongan wanita yang sering menjadi mangsa manusia yang tidak berhati perut. Dengan mempelajari seni mempertahankan diri, ia mampu meningkatkan daya ketahanan fizikal mahupun mental disamping meningkatkan keyakinan ketika berhadapan dengan situasi yang mencemaskan dan membahayakan keselamatan diri dimana mereka yang dilengkapi seni mempertahankan diri mampu berfikir dengan tenang dan menghadapi situasi tersebut dengan bijaksana.

Selain itu juga, dengan mendalami seni mempertahankan diri, ia membantu mendisiplinkan diri pelatih dan ia juga sebagai satu senaman yang menyihatkan badan dan pelatih dapat memanfaatkan masa dengan lebih baik iaitu dengan mengisi masa mereka dengan mempelajari seni mempertahankan diri.

Fahaman sesetengah ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka menyertai dan menpelajari seni mempertahankan diri kerana bimbang anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti atau gejala buli harus dikikis kerana seni mempertahankan diri sangat bermanfaat kepada anak-anak mereka sebagai satu benteng mempertahankan diri dari diserang.

Ibu bapa harus faham bahawa setiap seni mempertahankan diri bukan sahaja mengajar bagaimana untuk mempertahankan diri dari serangan dan membalas serangan, tetapi elemen seperti tatasusila, adab sopan, moraliti dan juga nilai-nilai murni juga ada diterapkan oleh mahaguru mahupun sifu yang mengajar agar pelatih bukan sahaja mahir dalam seni mempertahankan diri bahkan mereka juga tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk dan memanfaatkan apa yang mereka pelajari semaksima mungkin.

Pemotongan Gaji - Hukuman Yang Membina?

Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah mengeluarkan kenyataan berbentuk amaran kepada pemain-pemain skuad negeri itu agar menjaga disiplin mereka atau bersedia menghadapi tindakan pemotongan gaji jika lewat hadir ke sesi latihan. Amaran yang dikeluarkan oleh Presiden PBSNT Datuk Che Mat Jusoh ini bertujuan agar pemain-pemain skuad itu serius dalam menghadapi saingan Piala Malaysia dimana pemain yang lewat hadir 10 minit dari masa latihan yang telah ditetapkan, sebanyak RM100 akan dipotong dan diikuti RM50 jika lewat 5minit lagi dan RM50 bagi minit-minit yang berikutnya. Tetapi, sejauh manakan hukuman yang dikenakan ini mampu mengubah sikap sambil lewa pemain-pemain tersebut?

Dalam hal ini, pada pandangan saya, ia merupakan satu tindakan yang berasas dan wajar dilaksanakan bagi memastikan pemain-pemain mengambil serius terhadap karier mereka kerana ini melibatkan jumlah wang yang banyak. Selain itu, wang yang diberikan kepada pemain diberikan kepada yang wajar menerima sahaja dan ini dapat mengelakkan pembaziran.

Adalah lebih baik, wang yang diberikan kepada pemain yang tidak berdisiplin ini diberikan kepada pemain yang memberikan menonjolkan persembahan yang baik dalam pertandingan dan perlawanan yang mereka sertai.

Tujuan dilaksanakan hukuman tersebut agar pemain boleh memulakan dan menamatkan latihan mereka lebih awal agar pemain tidak terlajak menunaikan solat maghrib jika latihan tersebut dijalankan pada waktu petang. Ini juga bertujuan agar pemain lebih cergas dan tahu menghargai masa yang telah ditetapkan dimana pemain akan lebih pandai menguruskan masa mereka disamping memperolehi wang gaji dengan lebih berkat lagi.

Tidak mustahil, jika mereka sentiasa mencari keberkatan dalam misi mereka untuk mencapai matlamat mereka, InsyaAllah, persembahan mereka akan bertambah baik dan hati-hati mereka akan lebih tenang dalam menghadapi apa jua situasi yang bakal mereka hadapi.

Thursday, July 17, 2008

Program Kemasyarakatan - Bersukan Mengeratkan Silaturrahim

Dahulu, ketika saya masih di zaman kanak-kanak, di zaman 90-an, kami, kanak-kanak, belia mahupun bapa-bapa, ibu-ibu mahupun orang-orang tua, mengisi hujung minggu dengan mengadakan aktiviti seperti penganjurkan pertandingan sepak takraw, pertandingan wau, hari keluarga, gotong royong dan lain-lain. Boleh dikatakan pada ketika itu, masalah sosial seperti mat rempit, bohsia, bohjan dan lain-lain yang melibatkan remaja dan belia sangat minimum dibandingkan masa kini. Selain itu, diadakan juga program seperti pertandingan kampung tercantik, kampung terbersih, kampung teraktif dan lain-lain program kampung yang mana sangat membantu dalam usaha untuk mengeratkan silaturrahim sesama penduduk kampung.

Walaubagaimanapun, kini, tradisi serta amalan itu semakin pudar, semakin tidak mendapat sambutan dan semakin kelam dan suram ditelan arus masa dan permodenan kini. Kanak-kanak kini tidak lagi seaktif dan sekreatif kanak-kanak zaman dahulu. Belia kini sudah semakin kurang yang boleh diambil sebagai belia harapan, ibu-bapa kini sibuk melayan kerja yang bertimbun sehinggakan tiada masa lagi untuk melakukan aktiviti luar bersama anak-anak. Orang-orang tua pula ditinggalkan kesyunyian, meniti hari-hari berlalu. Tiada lagi kemeriahan seperti dahulu. Yang lebih parah lagi, masyarakat kini tidak lagi mengamalkan sikap tegur-menegur dijalan, salam-bersalamman hatta ada yang tidak mengenali jiran sebelah rumah.

Jika dikaji dalam pelbagai sudut, aktiviti sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada belia tetapi kepada masyarakat sekeliling. Program sebegini bukan sahaja untuk tujuan mengisi masa lapang masyarakat dan mengurangkan masalah sosial hasil penglibatan golongan belia, dalam masa yang sama ia juga boleh dijadikan gelanggang untuk mencari bakat baru, mengeratkan silaturrahim sesama manusia, disamping memupuk semangat kekitaan di dalam diri kita.

Tradisi sebegini harus "dihidupkan" semula sebagai satu usaha untuk mengurangkan masalah sosial belia muda-mudi kita disamping memupuk kembali silaturrahim agar masyarakat yang berkualiti dapat dilahirkan dalam usaha mencapai kecemerlangan sebuah negara yang aman dan harmoni.

Tuesday, July 15, 2008

(off record) renungan bersama

Musibah, kesusahan dan kesulitan seringkali menjadikan kita keluh kesah, bimbang, takut dan resah sehinggakan ia mampu menyebabkan kita stress dan kurang motivasi diri. Pernah saya terbaca dalam satu kisah, dimana Saidina Ali ada berkata, orang yang beruntung adalah mereka yang bersyukur pada nikmat yang diterimanya dan bersabar dan redha jika ditimpa kesusahan. Tersentuh hati saya pada kata-kata Saidina Ali ini, kerana saya mengakui, bukan mudah bagi diri saya untuk melakukan apa yang dikatakan oleh beliau.

Apa yang sering terjadi, bila musibah menimpa, keluh kesah, merungut, menyalahkan orang lain terdetik dihati kecil yang terdorong oleh hawa nafsu, egois serta sifat tidak redha dengan kesulitan yang dihadapi. Tapi diri, pernahkan dikau memikirkan bahawa dikau lebih beruntung dari insan yang lain. Yang saban hari bergelumang dengan musibah, kesulitan dan kesusahan yang tidak sama sekali boleh dibandingkan dengan apa yang dikau rasa. Wahai diri.. pernahkah dikau merasa betapa deritanya manusia di bumi seperti Palestin, Afghanistan, Kashmir dan lain-lain tempat yang dilanda peperangan dan musabah..

Sedarlah diri!! Dikau jauh lebih beruntung dari mereka di sana.. Bersyukurlah..Kerana kurangnya rasa syukur dalam diri, menyebabkan dikau sering keluh kesah dan gelisah. Oleh itu, selalulah bermuhasabah dan banyakkanlah berfikir dengan akal yang telah dikurniakan.kerana..tanpa berfikir, dikau termasuk bersama golongan2 yang rugi dan sia-sia..

Sunday, July 13, 2008

Asah bakat biar dari rebungnya

Program mencari bakat muda di dalam arena sukan kini semakin banyak dijalankan dalam usaha untuk memajukan prestasi seterusnya mengembalikan kegemilangan sukan di Malaysia. Dalam kenyataan akhbar baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menggesa agar diadakan lebih banyak program mencari bakat muda agar dapat diasah bakat-bakat mereka seawal usia muda. Langkah dan gesaan ini merupakan salah satu inisiatif yang harus disokong kerana remaja kita bukan sahaja tidak mensia-siakan bakat mereka malahan mereka dapat dipupuk untuk mencapai kejayaan yang lebih jauh lagi, bukan sahaja diperingkat negara malahan diperingkat dunia.

Target FAS dalam mencungkil bakat ini adalah seawal 5 tahun hingga 12 tahun merupakan satu tindakan yang bijak kerana pada usia ini, seorang budak mudah dididik dan merupakan peringkat dimana seorang budak masih kuat rasa ingin tahu mereka. Jika bakat mereka diasah dan dicorakkan dengan betul, tidak mustahil 20 tahun dari sekarang, Malaysia mampu melahirkan bakat muda yang berkredibiliti dan bertaraf antarabangsa.

Dalam usaha mencungkil bakat muda, tumpuan harus diberi bukan sahaja dari sudut kekuatan fizikal dan kemahiran sahaja, tetapi harus diberi penekanan lebih kepada spiritual dan mentaliti mereka agar mereka mampu berfikir dan membuat keputusan yang tepat disamping mempunyai motivasi diri dalam usaha memajukan diri untuk mencapai kecemerlangan. Perlu diingat juga, disiplin harus dititik beratkan dan dilaksanakan secara konsisten tanpa pilih kasih kepada sesiapapun agar apabila mereka dewasa kelak, mereka mampu mengatur masa mereka dengan bijak dan sistematik.

Hal ini bagi mengelak tradisi datang latihan lewat, kurang daya ketahanan mental, tidak serius dalam latihan dan ketika beraksi dan lain-lain masalah yang ada pada diri atlet-atlet kita kini. Dengan ini, usaha untuk mencorak dan mendidik bakat muda tidak menjadi sia-sia atau boleh dikatakan sekadar angan-angan mat jenin atau lebih tepat, kata bidalan "hangat-hangat tahi ayam".

Semakin besar kepala

Kalau dahalu, kita dapat lihat, pemandu trailer agak berhemah ketika memandu di jalanraya tetapi kini, bagaikan pemandu F1 yang ingin memenangi pelumbaan. Cuma silapnya, treck yang dipilih tidak bersesuaian dengan jenis kenderaan gergasi ini. Mahu tidaknya, pemandu trailer zaman kini sudah berani mencelah-celah dengan kelajuan yang tinggi sehinggakan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Minggu lepas, saya terbaca di dada akhbar, sebuah trailer merempuh kereta peronda polis kerana gagal mengawal trailer yang sedang laju dipandu. Kejadian berlaku di Chemor, Perak. 3 minggu sebelum itu, sebuah trailer "menyapu bersih" beberapa buah kenderaan di Lembah Klang. Nampaknya pemandu trailer kini semakin besar kepala! Mungkin kerana membawa kenderaan besar agaknya mereka terasa gah di jalanraya. Kini, pemandu trailer bukan sahaja laju di jalan besar seperti "highway" tetapi sehinggakan jalan kampung yang kecil pun dibelasahnya bawa laju mengalahkan mat rempit.

Statistik kemalangan jalanraya dari tahun 2006 hingga 2007 mencatatkan jumlah kemalangan melibatkan trailer adalah sebanyak 229 kes kematian. Yang kita bimbangkan pengguna jalan yang lain seperti penunggang motosikal, pemandu kereta dan lain-lain kenderaan. Untuk menangani masalah ini dari berlarutan, pihak berkuasa harus memperketatkan penguatkuasaan undang-undang seperti menarik balik lesen memandu pemandu trailer yang tidak makan saman ini. Selain itu, pihak berkuasa juga harus memperketatkan pengeluaran lesen memandu kenderaan besar kepada mereka dengan memastikan mereka benar-benar faham dengan undang-undang jalanraya dan bersedia untuk diambil tindakan jika melakukan kesalahan.

Apapun usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak berkuasa, ia tidak dapat mencapai objektifnya jika sikap pemandu trailer masih terus di takuk lama, degil dan tidak bertimbang rasa. Oleh itu, sedarlah wahai pemandu trailer, cara pemanduan anda bukan sahaja melibatkan keselamatan nyawa anda, tetapi pengguna jalanraya yang lain juga. Patuhilah peratuaran jalanraya bak kata kempen keselamatan jalanraya, "Pandu cermat jiwa selamat", "Anda mampu mengubahnya!!"