Sunday, October 26, 2008

Kekalahan Malaysia: Di mana silapnya?

Pasukan bolasepak Malaysia yang menjangkakan kemenangan di "Merdeka Tournament" tewas kepada pasukan Vientnam 6-5 hasil sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan gagal memboloskan gaung gol pihak lawan sepanjang pertandingan itu berlangsung.

Keputusan ini sememangnya mengecewakan penyokong Malaysia sendiri yang mengharapkan agar pasukan Malaysia mampu merangkul takhta juara. Sehari sebelum pertandingan, pasukan Malaysia melahirkan rasa penuh keyakinan untuk menumpaskan Vietnam tetapi akhirnya ia berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Vietnam.

Persoalannya, di manakah kesilapan pasukan Malaysia? Adakah kerana Malaysia terlalu yakin sehinggakan lalai dan memandang rendah pasukan lawan atau ia sememangnya pasukan Vietnam kuat dari segi strategi, pertahanan mahupun serangan??

Walaupun persoalan ini berlegar di dalam benak kita, takdirnya telah tersurat dan nyata Vietnam bukanlah pasukan yang harus dipandang rendah. Kekalahan ini harus dijadikan sebagai iktibar kepada pasukan Malaysia di masa hadapan dalam usaha mencapai kecemerlangan.

Sunday, October 19, 2008

Chong Wei mungkin “berehat” Terbuka Denmark

Bagi memastikan gelaran no. 1 dunia dipegang oleh Datuk Lee Chong Wei, beliau kini mempertimbangkan keputusan untuk tidak bertanding di Terbuka Denmark bagi membuka peluang untuk beliau menumpukan sepenuh latihan untuk Terbuka France.

Ini kerana Chong Wei mengadu kurangnya kecergasan adalah faktor beliau gagal untuk menonjolkan aksi yang terbaik dalam pertandingan yang lepas. Keputusan untuk berehat dari menyertai Terbuka Denmark untuk memastikan beliau benar-benar bersedia untuk menghadapi lawan di Terbuka France yang bakal berlangsung pada 28 Oktober hingga 3 November ini.

Beliau juga menyatakan bahawa kerana kondosi yang kurang baik, ini hanya akan mengakibatkan kekalahan dan berkemungkinan beliau akan gagal menonjolkan aksi yang terbaik di Terbuka France nanti.

Tindakan yang bakal diambil ini akan dibincangkan dengan jurulatih beliau, Datuk Misbun Sidek dengan mempertimbangkan segala aspek agar keputusan yang di buat kelak tidak memberi implikasi yang buruk kepada prestasi dan reputasi Datuk Lee Chong Wei.

Kekuatan mental untuk Esther

Jurulatih boling negara, Holloway Cheah, bapa kepada 2 kali juara dunia, Esther Cheah melahirkan rasa yakin beliau dengan kemampuan Esther untuk menonjolkan persembahan yang baik dalam kejohanan di Amerika Syarikat jika Esther mampu berusaha mempertingkatkan kekuatan mental beliau.

Kegagalan beliau dalam mempertonjolkan kemampuan beliau di Terbuka Barney, Springfield adalah kerana beliau gagal mengawal mental beliau ketika berhadapan atlet lelaki dipertandingan tersebut.

Jika Esther mampu berhadapan dengan atlet lelaki, Holloway percaya, Esther mempunyai kelebihan untuk berhadapan dengan mana-mana jua lawan kerana resipi mengapa pemain pro wanita di Amerika Syarikat (AS) hebat kerana mereka sering berhadapan dengan lawan lelaki.

Kualiti adalah keutamaan – BAM

Dalam persediaan untuk menghadapi sukan Olimpik di London 2012, Persatuan Badminton Kebangsaan (BAM) mengambil langkah untuk mempertingkatkan mutu setiap atlet yang bakal mewakili Malaysia di sukan tersebut.

Nama seperti Datuk Lee Chong Wei, Hafiz Hashim, Wong Mew Choo, Julia Wong dan lain-lain lagi akan membarisi pasukan negara untuk menghadapi tentangan hebat di Sukan Olimpik di London 2012 ini.

BAM menegaskan bahawa kualiti atlet negara akan dipertingkatkan agar mampu beraksi dengan baik dan membawa pulang pingat dalam pertandingan tersebut. Dalam usaha ini, BAM harus meneliti psikologi atlet kerana ramai atlet negara kita tidak mampu menguruskan mental mereka ketika berhadapan dengan lawan yang hebat.

Atlet negara kita harus diperkemaskan dan diperlengkapkan dengan ilmu psikologi agar mampu mengawal gementar atau mudah luntur semangat disamping mampu mengawal emosi ketika beraksi. Dengan ini, atlet negara akan lebih bijak membaca strategi lawan disamping melaksanakan strategi yang sesuai ketika berhadapan dengan pihak lawan.

Emas untuk Jumith

Atlet Malaysia, Aricco Jumith telah merangkul pingat emas di “Commonwealth Youth Games” disamping memecahkan rekod pertandingan selepas berjaya mengumpul mata 267 kg dalam acara angkat berat.

Anak kelahiran Sabah yang berusia 18 tahun ini melahirkan rasa gembira beliau setelah berjaya merangkul pingat emas. Kata beliau, kemenangan ini adalah tidak disangka-sangka kerana ketika pertandingan beliau berasa gementar.

Sasaran Jumith yang seterusnya adalah Sukan Commonwealth, Delhi 2010. Pencapaian yang membanggakan ini harus diteruskan dalam usaha negara untuk melangkah menuju kemercu dunia.

Persediaan harus dilakukan dengan lebih awal disamping memastikan atlet negara berada di dalam keadaan yang sihat agar hasrat negara untuk memenangi lebih banyak pingat di Sukan-sukan antarabangsa dapat dicapai.

Bukan Tugas Mudah

Pasukan Malaysia meneruskan kempen mereka di “Merdeka Tournament” dengan berhadapan pasukan Nepal di Stadium Petaling Jaya. Pertemuan ini menjanjikan persaingan yang mantap dimana kedua-dua pasukan mempunyai strategi yang mampu menggugat kemaraan lawan mereka.

Jurulatih pasukan Malaysia, B. Sathianathan walaubagaimanapun mengingatkan pasukan bawak didikan beliau untuk tidak leka dan sentiasa berjaga-jaga dengan pasukan Nepal yang mungkin akan menyebabkan pasukan Malaysia tewas.

Dengan persediaan yang rapi telah dilakukan, pasukan Malaysia akan berdepan dengan pasukan Nepal secara serius. Ini kerana, apa-apa boleh terjadi terutama disaat-saat yang tidak diduga-duga.

Apa yang dilakukan oleh Sathianathan adalah tindakan yang sangat wajar kerana kelalaian meneliti serta tidak serius dalam menghadapi lawan akan mengundang kekecewaan di akhir pelawanan. Cara yang terbaik adalah melakukan yang terbaik disamping mengekalkan kerjasama dan semangat cintakan negara dalam usaha pasukan negara ini mengharumkan dan memasyhurkan nama Malaysia di mata dunia dalam arena sukan ini.