Sunday, October 26, 2008

Kekalahan Malaysia: Di mana silapnya?

Pasukan bolasepak Malaysia yang menjangkakan kemenangan di "Merdeka Tournament" tewas kepada pasukan Vientnam 6-5 hasil sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan gagal memboloskan gaung gol pihak lawan sepanjang pertandingan itu berlangsung.

Keputusan ini sememangnya mengecewakan penyokong Malaysia sendiri yang mengharapkan agar pasukan Malaysia mampu merangkul takhta juara. Sehari sebelum pertandingan, pasukan Malaysia melahirkan rasa penuh keyakinan untuk menumpaskan Vietnam tetapi akhirnya ia berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Vietnam.

Persoalannya, di manakah kesilapan pasukan Malaysia? Adakah kerana Malaysia terlalu yakin sehinggakan lalai dan memandang rendah pasukan lawan atau ia sememangnya pasukan Vietnam kuat dari segi strategi, pertahanan mahupun serangan??

Walaupun persoalan ini berlegar di dalam benak kita, takdirnya telah tersurat dan nyata Vietnam bukanlah pasukan yang harus dipandang rendah. Kekalahan ini harus dijadikan sebagai iktibar kepada pasukan Malaysia di masa hadapan dalam usaha mencapai kecemerlangan.

Sunday, October 19, 2008

Chong Wei mungkin “berehat” Terbuka Denmark

Bagi memastikan gelaran no. 1 dunia dipegang oleh Datuk Lee Chong Wei, beliau kini mempertimbangkan keputusan untuk tidak bertanding di Terbuka Denmark bagi membuka peluang untuk beliau menumpukan sepenuh latihan untuk Terbuka France.

Ini kerana Chong Wei mengadu kurangnya kecergasan adalah faktor beliau gagal untuk menonjolkan aksi yang terbaik dalam pertandingan yang lepas. Keputusan untuk berehat dari menyertai Terbuka Denmark untuk memastikan beliau benar-benar bersedia untuk menghadapi lawan di Terbuka France yang bakal berlangsung pada 28 Oktober hingga 3 November ini.

Beliau juga menyatakan bahawa kerana kondosi yang kurang baik, ini hanya akan mengakibatkan kekalahan dan berkemungkinan beliau akan gagal menonjolkan aksi yang terbaik di Terbuka France nanti.

Tindakan yang bakal diambil ini akan dibincangkan dengan jurulatih beliau, Datuk Misbun Sidek dengan mempertimbangkan segala aspek agar keputusan yang di buat kelak tidak memberi implikasi yang buruk kepada prestasi dan reputasi Datuk Lee Chong Wei.

Kekuatan mental untuk Esther

Jurulatih boling negara, Holloway Cheah, bapa kepada 2 kali juara dunia, Esther Cheah melahirkan rasa yakin beliau dengan kemampuan Esther untuk menonjolkan persembahan yang baik dalam kejohanan di Amerika Syarikat jika Esther mampu berusaha mempertingkatkan kekuatan mental beliau.

Kegagalan beliau dalam mempertonjolkan kemampuan beliau di Terbuka Barney, Springfield adalah kerana beliau gagal mengawal mental beliau ketika berhadapan atlet lelaki dipertandingan tersebut.

Jika Esther mampu berhadapan dengan atlet lelaki, Holloway percaya, Esther mempunyai kelebihan untuk berhadapan dengan mana-mana jua lawan kerana resipi mengapa pemain pro wanita di Amerika Syarikat (AS) hebat kerana mereka sering berhadapan dengan lawan lelaki.

Kualiti adalah keutamaan – BAM

Dalam persediaan untuk menghadapi sukan Olimpik di London 2012, Persatuan Badminton Kebangsaan (BAM) mengambil langkah untuk mempertingkatkan mutu setiap atlet yang bakal mewakili Malaysia di sukan tersebut.

Nama seperti Datuk Lee Chong Wei, Hafiz Hashim, Wong Mew Choo, Julia Wong dan lain-lain lagi akan membarisi pasukan negara untuk menghadapi tentangan hebat di Sukan Olimpik di London 2012 ini.

BAM menegaskan bahawa kualiti atlet negara akan dipertingkatkan agar mampu beraksi dengan baik dan membawa pulang pingat dalam pertandingan tersebut. Dalam usaha ini, BAM harus meneliti psikologi atlet kerana ramai atlet negara kita tidak mampu menguruskan mental mereka ketika berhadapan dengan lawan yang hebat.

Atlet negara kita harus diperkemaskan dan diperlengkapkan dengan ilmu psikologi agar mampu mengawal gementar atau mudah luntur semangat disamping mampu mengawal emosi ketika beraksi. Dengan ini, atlet negara akan lebih bijak membaca strategi lawan disamping melaksanakan strategi yang sesuai ketika berhadapan dengan pihak lawan.

Emas untuk Jumith

Atlet Malaysia, Aricco Jumith telah merangkul pingat emas di “Commonwealth Youth Games” disamping memecahkan rekod pertandingan selepas berjaya mengumpul mata 267 kg dalam acara angkat berat.

Anak kelahiran Sabah yang berusia 18 tahun ini melahirkan rasa gembira beliau setelah berjaya merangkul pingat emas. Kata beliau, kemenangan ini adalah tidak disangka-sangka kerana ketika pertandingan beliau berasa gementar.

Sasaran Jumith yang seterusnya adalah Sukan Commonwealth, Delhi 2010. Pencapaian yang membanggakan ini harus diteruskan dalam usaha negara untuk melangkah menuju kemercu dunia.

Persediaan harus dilakukan dengan lebih awal disamping memastikan atlet negara berada di dalam keadaan yang sihat agar hasrat negara untuk memenangi lebih banyak pingat di Sukan-sukan antarabangsa dapat dicapai.

Bukan Tugas Mudah

Pasukan Malaysia meneruskan kempen mereka di “Merdeka Tournament” dengan berhadapan pasukan Nepal di Stadium Petaling Jaya. Pertemuan ini menjanjikan persaingan yang mantap dimana kedua-dua pasukan mempunyai strategi yang mampu menggugat kemaraan lawan mereka.

Jurulatih pasukan Malaysia, B. Sathianathan walaubagaimanapun mengingatkan pasukan bawak didikan beliau untuk tidak leka dan sentiasa berjaga-jaga dengan pasukan Nepal yang mungkin akan menyebabkan pasukan Malaysia tewas.

Dengan persediaan yang rapi telah dilakukan, pasukan Malaysia akan berdepan dengan pasukan Nepal secara serius. Ini kerana, apa-apa boleh terjadi terutama disaat-saat yang tidak diduga-duga.

Apa yang dilakukan oleh Sathianathan adalah tindakan yang sangat wajar kerana kelalaian meneliti serta tidak serius dalam menghadapi lawan akan mengundang kekecewaan di akhir pelawanan. Cara yang terbaik adalah melakukan yang terbaik disamping mengekalkan kerjasama dan semangat cintakan negara dalam usaha pasukan negara ini mengharumkan dan memasyhurkan nama Malaysia di mata dunia dalam arena sukan ini.

Sunday, September 21, 2008

Strategi Baru Memastikan Hoki Layak ke London 2012

Menurut Datuk Ismail Sabri Yaakob, Kementerian beliau (KBS) akan mewujudkan satu jawatankuasa kerja dalam usaha untuk memastikan impian sukan hoki mampu layak ke Sukan Olimpik London 2012.

Pasukan hoki negara kini berada di ranking ke-15 dunia kini akan berusaha melayakkan pasukan tersebut untuk beraksi di London kelak. Dengan itu, KBS kini sedang merangka untuk melaksanakan idea-idea baru yang InsyaAllah mempu meningkatkan prestasi pasukan hoki kita.

Beberapa kelemahan pasukan hoki ini telah dikenalpasti dan beberapa langkah telah dicetuskan untuk mengatasi masalah ini. Antara permasalahan yang dihadapi adalah seperti masalah jurulatih, permakanan, sains sukan dan pembentukan pasukan hoki itu sendiri.

Antara langkah yang bakal diambil oleh KBS ialah mengambil jurulatih asing bagi meningkatkan prestasi pasukan hoki negara. Walaubagaimanapun, ini tidak bertujuan untuk mengetepikan jurulatih tempatan kerana ia juga dapat memberi manfaat kepada jurulatih tempatan mempelajari teknik-teknik baru disamping merangka strategi yang lebih mantap di masa akan datang...

Tiada Ruang Bagi Atlet "Manja"

Datuk Ismail Sabri Yaakob, Menteri Belia dan Sukan memberi amaran keras kepada sesetengah atlet negara yang boleh dikategorikan sebagai 'manja' sehingga gagal mempamerkan persembahan dan kebolehan yang sebenar diperingkat antarabangsa.

Datuk Ismail memberitahu bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak sama sekali akan berkompromi dengan atlet yang gagal memberi hasil yang diharapkan oleh negara. Tindakan yang bakal dikenakan kepada mereka adalah seperti menggugurkan mereka dari senarai atlet negara.

Ini kerana terdapat aduan dimana sesetengah jurulatih asing yang diambil oleh negara berputus asa disebabkan tingkah laku atlet negara kita yang bersikap sambil lewa dan tidak serius dalam menjalani latihan.

Tindakan ini difikirkan wajar kerana tidak seharusnya KBS melaburkan wang yang banyak hanya untuk 'membela' atlet yang 'manja' ini. Ini hanya membazirkan duit negara. Oleh itu, diharapkan dengan amarana ini, para atlet negara dalam apa jua jenis sukan dapat memberikan persembahan yang terbaik disamping menjaga disiplin mereka agar prestasi sukan di negara kita mampu diperbaiki dan dipertingkatkan agar martabat sukan kita mempu dimercu yang tinggi...

Sunday, August 31, 2008

Ramadhan datang lagi

1 sept 2008, bermula tarikh 1 Ramadhan..bulan yang seharusnya ditunggu-tunggu oleh semua manusia yang bergelar muslim..bagiku ramadhan kali ini, satu tekad telah ku tanamkan agar dapat meningkatkan amal soleh yang kurasakan semakin berkurangan ketika ku belajar ini..

Allahu Rabbi..moga ramadhan ini menjadikan daku hambaMU yang tidak mensia-sia peluang ini..bagi teman2ku, mari kita rebut peluang yang Allah bagi khusus buat umat Muhammad ini dengan mengimarahkan masjid2, menghidupkan malam dengan Qiamullai dan mari kita kembali membaca Kalamullah..moga ramadhan ini memberi keberkatan yang sgt byk kepada kita...

Tuesday, August 19, 2008

(Off Record) Keikhlasan

Seorang wanita dan kekasihnya bernikah dan acara pernikahannya sungguh meriah. Semua keluarga dan sahabat handai mereka hadir menyaksikan dan menikmati hari yang berbahagia mempelai tersebut..Suatu majlis yang penuh meriah dan terhibur. Kedua mempelai begitu anggun dan gagah dalam persalinan yang indah. Setiap pasang mata yang memandang setuju mengatakan bahawa mereka sungguh-sungguh saling menyintai dan sepadan.

Beberapa bulan kemudian, si suami berkata kepada isterinya:Sayang, abang baru membaca sebuah artikel dalam majalah tentang bagaim ana memperkuatkan hubungan dan tali pernikahan kita', katanya sambil menunjukkan majalah tersebut. 'Masing-masing kita akan mencatatkan hal-hal yang kurang kita sukai dari pasangan kita. Kemudian, kita akan membahas bagaimana kita mengubah hal-hal tersebut dan membuatkan perkahwinan kita bersama lebih bahagia ...'

Isterinya setuju dan mereka mula memikirkan hal-hal dari pasangannya yang tidak mereka sukai dan berjanji tidak akan tersinggung ketika pasangannya mencatat hal-hal yang kurang baik kerana ia adalah untuk kebaikan mereka bersama. Malam itu mereka sepakat untuk berpisah tempat tidur dan mencatat apa yang terlintas dalam benak fikiran mereka masing-masing.Esok pagi selepas sarapan, mereka sedia membincangkannya. 'Sayang mulai dulu ya', saran suaminya.

Lalu si isteri mengeluarkan senarainya. Banyak sekali yang ditulisnya, sekitar 2 muka surat lalu terus membaca senarainya itu.Ketika si isteri mulai membacakan satu persatu hal yang tidak dia sukai mengenai diri suaminya, ia memperhatikan bahawa didalam mata suaminya bersinar jernih airmata yang terbentuk didalamnya kemudian pelahan-lahan airmata suaminya mulai mengalir keluar membasahi pipinya. 'Maaf, apakah sayang harus berhenti ?' tanyanya.'Oh tidak, teruskan ...' jawab suaminya.

Lalu si isteri melanjutkan membacakan semua yang tersenarai. Setelah selesai membacanya lalu dia kembali melipat kertasnya dengan manis dan meletakkannya di atas meja dan berkata dengan bahagia dan manja, 'Sekarang giliran abang pula membacakan senarai untuk sayang'.

Dengan suara perlahan si suami berkata,'Abang tidak mencatat sesuatupun di atas kertas abang. Bagi abang, sayang sudah sempurna, dan abang tidak ingin dan tidak akan mengubah dirimu Sayang..... Sayang adalah tersendiri. Sayang adalah pelengkap segala kekurangan abang... Dan jika adapun kekurangan sayang, kekurangan itulah yg mendekatkan hati abang dengan sayang... Jika ada apa-apa kekurangan pada sayang, sebenarnya itu adalah kekurangan abang pada sayang……. Jika ada apa-apa kesilapan pada sayang, itu adalah kesilapan abang… Jika ada apa-apa dosa pada sayang, itu adalah dosa-dosa abang yang lalai membentuk sayang dan keluarga….Si isteri tersentak dan tersentuh hatinya oleh pernyataan dan ungkapan cinta serta isi hati suaminya ..... bahawa suaminya menerima dirinya seadanya.Dia kemudian tertunduk dan menangis ...

P/s: Sebelum kita mencari kekurangan orang lain, carilah kekurangan diri sendiri. Adakah kita cukup SEMPURNA untuk dibandingkan dengan orang lain?...Kalau jawapan nya YA, maka kita berbohong atau kita PERASAN. Kerana tiada manusia yang SEMPURNA dalam dunia ini dan sentiasa ada yang perlu diperbaiki.. .Wallahualam'Hakikatnya orang-orang yang menyayangi diri kita kerana kelebihan kita dan menerima segala kelemahan kita, sudah pastilah orang ini adalah sangat ikhlas menyayangi diri kita... INSYAALLAH.'

HARGAILAH APA YANG TELAH ALLAH BERIKAN PADA KITA

Saturday, August 16, 2008

Atlet minda kelas pertama penyumbang kecemerlangan sukan

Bila bercerita tentang senario pencapaian atlet negara kita, ramai juga mempersoalkan berkaitan pencapai akademik mereka. Persepsi masyarakat kita ada yang berpendapat atlet negara kita kurang berpendidikan dan dalam masa yang sama tidak "perform" di dalam sukan yang mereka ceburi. Ibu bapa yang memikirkan kecemerlangan akademik akan menegah dan melarang anak-anak mereka dari menceburi bidang sukan untuk memberi tumpuan kepada pencapaian akademik.

Perkara ini harus dikikis dari minda ibu bapa kerana tidak semua atlet negara kita yang sebegitu. Kita ambil contoh, Datuk Nicol Ann David, seorang wirawati negara kita yang cemerlang dalam sukan yang beliau ceburi, dalam masa yang sama cemerlang dalam pelajaran dan akademik beliau. Atlet sebeginilah yang ingin dihasilkan dan dilahirkan oleh negara kita kerana dengan ilmu pengetahuan, masyarakat tidak memandang rendah kepada atlet bahkan lebih menyanjung atlet yang mempunyai kegigihan serta kecekalan sebegini.

Bagi mencapai minda kelas pertama, ilmu pengetahuan sangat penting kerana dengan ilmu pengetahuan, para atlet mampu menjana minda mereka untuk menjadi atlet minda kelas pertama sekaligus menyumbang kecemerlangan sukan di negara kita.

Ilmu pengetahuan mampu menjadikan seseorang itu mempunyai martabat yang tinggi kerana dengan ilmulah seseorang mampu membezakan kebaikan dan keburukan, bertindak secara efektif dan kerana inilah, tidak mustahil akan lahir lagi lebih ramai atlet seumpama Datuk Nicol Ann David sekaligus memberi sumbangan yang sangat baik kepada negara kita dalam bidang sukan.

Friday, August 15, 2008

Nothing is Imposible

Bagi penggemar aktiviti lasak seperti berbasikal lasak memberikan kepuasan kepada mereka kerana kini aktiviti basikal lasak kini mendapat tempat di hati penggemar-penggemar aktiviti ini bagi mengisi masa lapang mereka di hujung minggu.

Aktiviti sebegini bukan sahaja disertai oleh golongan maskulin, bahkan golongan feminin juga kini sudah berjinak-jinak menceburi aktiviti lasak ini. Bagi penggemar aktiviti berbasikal lasak ini, mereka kini mula tertumpu untuk menguji kemampuan serta kecekapan berbasikal mereka di kawasan yang berhalangan seperti kawasan bukit bukau, rentangan akar kayu pokok, sungai-sungai serta lain-lain kawasan yang mencabar.

Bukan sahaja memberi kepuasan, malahan dalam masa yang sama, ia dapat menenangkan fikiran, menghayati keindahan alam semulajadi dan yang paling penting, menyihatkan tubuh badan. Bagi mereka, jalan becak, licin serta berliku-liku tidak menjadi penghalang untuk menikmati serta meminati acara berbasikal lasak ini.

Dorongan dari keluarga dan rakan-rakan, membuatkan mereka bersemangat untuk terus meminati aktiviti sebegini dan aktiviti ini seharusnya diperkembangakan kerana memberi banyak manfaat bagi insan-insan yang mahu berfikir...

Jom Makan Durian

Satu usaha murni telah dilakukan oleh Pusat Khidmat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk membantu menjana ekonomi bekas-bekas penagih dengan cara mengadakan program "Jom Makan Durian". Tujuan mengadakan program ini adalah untuk menggalakkan bekas-bekas penagih untuk berniaga disamping memberi peluang kepada mereka untuk mengubah kehidupan mereka untuk menjadi lebih bermakna.

Dalam program ini, mereka dapat berkongsi pengalaman serta buah fikiran melalui program "Gain, Pain and Sharing" dimana bekas penagih yang telah berjaya berhenti dari mengambil najis dadah ini akan memberi galakan dan dorogan kepada penagih yang lain untuk berhenti.

Program sebegini memberi impak yang baik dimana penagih boleh menggantikan ketagihan mereka kepada dadah kepada ketagihan durian pula. Selain dari itu, program ini juga menggalakkan para bekas penagih untuk memberikan khidmat secara sukarela di pusat tersebut bagi membantu penagih lain.

Dengan wujudnya serta berkembangnya program sebegini, diharapkan agar penyalahgunaan dadah di negara kita dapat dikurangkan dan usaha ini bukan sahaja perlu dilakukan oleh penagih tersebut dengan usaha mereka sendiri, disamping itu, kaum keluarga serta masyarakat sekeliling dapat memberikan sokongan dan dorongan yang padu dan jitu...

Hargailah Sungai Kita

Saya terbaca satu jurnal berkenaan kepentingan sungai kepada kita. Memang tidak dapat dinafikan betapa pentingnya sungai kepada seluruh hidupan di muka bumi ini. Walaupun manusia sedar kepentingan sungai sebagai sumber protein kepada manusia dan hidupan lain.

Kalau kita kaji sejarah, tamadun manusia berkembang pesat di kawasan di muara-muara sungai seperti tamadun Babylon, Ur, Urik dan lain-lain tamadun. Ini menunjukan dengan wujudkan punca air seperti sungai, ia sangat membantu dalam mewujudkan permodenan yang hebat.

Walaubagaimanapun, kesedaran itu sedikit demi sedikit terhakis pabila wujudnya sumber air dari paip yang disalirkan terus ke rumah. Tidak perlu lagi ke sungai untuk mendapatkan air. Maka bermulalah era pencemaran air sungai yang semakin hari semakin berleluasa dilakukan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab.

Walaupun banyak kempen telah dijalankan, kompoun dan denda dikenakan serta usaha membersihkan sungai dilakukan tetapi ia masih gagal mengawal pencemaran sungai yang dilakukan oleh manusia sendiri.

Sedarkah kita implikasi dari pencemaran sungai ini sangat banyak yang mana ia membawa bencana kepada diri kita sendiri. Sebagai contoh, banjir kerana saliran air sungai tersumbat, bau busuk kesan dari pembuangan sampah sarap serta penyakit berbahaya berpunca dari dari air sungai yang tercemar kini telahpun menimpa ke atas kita. Adakah kita mahu diberikan lagi bencana hasil dari kelalaian serta sikap ambil lewa kita? Tepuk dada tanya hati..

Tuesday, August 5, 2008

Kelompok lima terbaik menjadi sasaran

Amirul Hamizan Ibrahim, jaguh angkat berat negara kita melahirkan rasa yakin beliau untuk berada dikedudukan antara lima yang terbaik dalam acara itu pada temasya Sukan Olimpik di Beijing nanti. Amirul memberitahu bahawa beliau yakin strategi yang dirangka mampu membawa beliau ke arah matlamat yang telah beliau tetapkan itu.

Jurulatih Amirul, Lin Xin Hui juga melahirkan rasa yakin beliau kepada anak didik setelah persediaan yang dilakukan oleh Amirul. Lin mengharapkan Amirul bukan sahaja mampu berada dalam kelompok lima yang terbaik, dalam masa yang sama merangkul pingat emas dalam acara yang diduduki beliau kini.

Kesungguhan dan keyakinan yang ditonjolkan oleh Amirul harus dicontohi oleh atlet kita kerana tanpa kesungguhan dan keyakinan yang jitu, atlet bukan sahaja mudah diganggu gugat emosi mereka bahkan fizikal mereka juga tidak bersedia menghadapi cabaran. Dalam masa yang sama juga, para atlet tidak boleh terlalu berkeyakinan kerana dibimbangi mereka akan memandang rendah kepada pihak lawan.

Persediaan yang perlu dilakukan bukan sahaja dari aspek emosi dan fizikal tetapi persediaan spiritual jau harus dititik beratkan kerana kita harus sedar bahawa kekuatan kita bukan datang dari diri kita sendiri tetapi ia hadir dan anugerah dari Yang Maha Esa...

Budak 7 Tahun beri ceramah (plan publicity)

Baru-baru ini, bersempena sambutan Israk Mikraj, seorang anak muda yang hanya berumur 7 tahun, Mujibur Rahman, dari negara jiran telah dijemput untuk berceramah di satu majlis anjuran Persatuan Penduduk Taman Setia Jaya, Sungai Besar, Sabak Bernam.

Pendekatan yang diketengahkan pada sambutan tahun ini agak berbeza kerana ia menggunakan langkah memberi pendekatan kepada anak muda terutama remaja untuk lebih menjurus ke arah keagamaan. Ini kerana remaja kini sudah lebih menjurus kepada hiburan yang melalaikan dan semakin pudar sifat ingin mendalami ilmu agama. Hal ini menjadi kebimbangan umat Islam kerana tonggak yang bakal menerajui kepimpinan akan datang kurang mempunyai pendidikan agama.

Program sebegini merupakan satu method yang baik pada pendapat saya kerana pengetahuan agama sangat penting dalam melahirkan generasi yang faham dan tahu membezakan di antara yang halal dan yang haram. Kita harus ingat, kehidupan kita bukan sahaja di dunia tetapi kita juga akan melalui satu lagi kehidupan yang kekal abadi iaitu dunia Akhirat.

Bagi pemuda zaman kini, diharapkan agar dengan wujudnya program-program ilmu sebegini, menjadi satu platform untuk mereka berubah dan sedar bahawa keseronokan yang mereka nikmati kini adalah bersifat tidak kekal bahkan ia akan membawa kehancuran kepada hidup mereka di dunia ini.

Oleh itu, rebutlah peluang sebegini dalam usaha mencari hidayah Allah dengan memahami dengan lebih mendalam tentang agama agar kehidupan mereka lebih menjurus kepada mencari kebahagiaan di akhirat kelak. Contohilah Mujibur Rahman, seorang kanak-kanak yang hanya berumur 7 tahun tetapi telah berusaha mendalami Ilmu agama sehinggakan mampu menjadi penceramah yang hebat.

Sunday, July 27, 2008

Langkawi Pilihan pelayar luar

Menjelang Beijing 2008 ini, semua atlet giat berlatih dengan mencuba pelbagai teknik dan cara yang mempu meningkatkan prestasi mereka. Tapi di sudut ruang yang kecil ni, saya nak memfokus pada sukan Perahu Layar. Baru-baru ini, beberapa kumpulan atlet dari luar negara telah berminat untuk datang ke Malaysia, menjalani latihan mereka di Langkawi.

Adapun dikhabarkan mereka ini dari negara-negara yang mengalami musim sejuk sehinggakan pantai-pantai mereka mampu membuatkan mereka beku (agaknya la). Tapi saya puji mereka kerana mereka bijak mengambil strategi dan inisiatif lain untuk membuat latihan. Maka dengan bangganya Malaysia pun dipilih sebagai destinasi latihan sambil melancong la kiranya ni.

Perkara ini masih dalam perbincangan sebenarnya dan ini akan memberi manfaat kepada atlet negara kita untuk berlatih sama dengan mereka sekiranya perkara ini menjadi kenyataan. Hal ini mampu menyuntik semangat dan meningkatkan prestasi atlet untuk menghadapi Sukan Asia 2010 di Beijing.

Peluang sebegini harus dimanfaatkan oleh atlet negara kita untuk menimba sebanyak mana ilmu dari kedatangan atlet-atlet luar ini disamping merangka strategi untuk menghadapi Sukan Asia 2010.

Kitar Semula sebagai punca pencarian Rakyat Haiti

Rakyat Haiti yang kini berdepan dengan krisis pengangguran dan menurut berita, mereka hanya menerima kurang dari AS$2 sehari menyebabkan mereka terpaksa mencari inisiatif lain untuk menampung kehidupan seharian mereka. Cara yang mereka pilih ialah untuk mencari bahan-bahan yang boleh dikitar semula.

Bahan-bahan seperti besi-besi skrap, botol-botol plastik malahan kereta-kereta yang terbengkalai menjadi sasaran golongan ini untuk dijual ke kilang seperti GS Industries SA, salah sebuah kilang kitar semula terbesar dibandar itu. Kemudian, kilang tersebut akan melebur serta mencairkan bahan-bahan tersebut dan seterusnya dieksport ke negara Amerika dan Asia.

Usaha sebegini seharusnya dicontohi oleh rakyat-rakyat negara kita kerana dengan adanya usaha sebegini, negara kita bukan sahaja dapat mengurangkan kadar longgokan sampah yang tidak dapat dilupus, malahan ia dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dan menjaga alam sekitar kita dari tercemar hasil dari pembakaran terbuka bahan-bahan yang tidak dapat dilupuskan seperti bahan-bahan plastik dan polestrin. (betulkan andai salah eja)

Friday, July 18, 2008

(Off Record) Muhammad Khatamul Anbiya'

Ada sebuah kisah dimana saya sangat tersentuh dengan kehidupan yang sangat sederhana dan sangat zuhudnya Baginda Muhammad SAW. Pernah Aisyah, isteri Baginda menceritakan bagaimana Baginda biasa menghabiskan waktu malam yang panjang dengan menunaikan solat dan beribadah. Kadang-kadang Baginda menyusahkan dirinya sendiri di dalam solat, tidak kira masa dan tempat selain dari menyedari sepenuhnya kebaikan Allah terhadapnya dan kurnia al-Qur'an, yang disampaikan kepada umaat manusia melalui dirinya. Pernah Aisyah bertanya kepada Baginda " Wahai tuan, mengapa tuan bersusah payah mengerjakan Ibadah sehingga pecah-pecah kaki tuan? sedangkan tuan merupakan kekasih Allah dan tuan telah dijaminkan Syurga oleh Allah" Kata Baginda "Apalah kiranya daku menjadi seorang hamba yang bersyukur (pada Allah)".

Bagi Baginda, bagaimanapun panjang pun solat Baginda, namun tetap tidak dapat membalas nikmat dari Allah kepada Baginda atau melahirkan perasaan syukurnya kepada Allah. Baginda menyusahkan diri dengan keterlaluan, sehingga satu hari turunlah ayaat dari surah Thaha : 1-3 yang bermaksud - "Taha! Kami tidak menurunkan al-Qur'an ini kepadamu agar kamu menjadi susah. Tetapi sebagai peringatan bagi ornga yang takut (kepada Allah)" al-ayat...

(dipetik dari buku Kisah Para Nabi, Teladan bagi Orang Berakal. Karangan Ibnu Kathir)

Penantian 21 tahun tercapai jua

Bagi Hasli Izwan Amir Hasan, atlet dalam acara menembak, penantian selama 21 tahun akhirnya memberi membuka ruang kepadanya untuk beraksi sebagai wakil tunggal dari Malaysia untuk acara tersebut. Beliau menyemai impian sejak dari usia 10 tahun lagi setelah teruja dengan kesungguhan idolanya, Sabiahmad Abdul Ahad, penembak negara yang beraksi di Olimpik Los Angeles pada 1984.

Hasli yang kini berusia 31 tahun, berasal dari Ipoh menyatakan bahawa telah pelbagai cabaran yang beliau tempuh sepanjang 21 tahun untuk menempatkan dirinya di tangga ke-11 terbaik dunia dalam acara rapid pistol 25 meter, takhta yang melayakkan beliau untuk bertanding di Olimpik Beijing 2008.

Beliau yang telah banyak meraih kejayaan seperti kejayaan mendapat tempat ke-2 dalam Kejohanan Asia di Kuwait, johan dalam acara tembak tubi di Sukan Komanwel 1998 dan juga di Sukan Sea dalam acara yang sama.

Walaubagaimanapun, menurut beliau, seperti atlet lain, kadang kala beliau menghadapi masalah mengekalkan prestasi yang cemerlang dimana beliau hanya mendapat pingat gangsa di Sukan Komanwel 2006 di Mebourne, Australia.

Kegagalan beliau menyertai Sukan Olimpik Athens 2004 tidak sama sekali mematahkan semangat beliau untuk terus mara dan berusaha mempertingkatkan kebolehannya bagi mencapai impiannya ke Olimpik.

Sifat begini yang harus diambil ikhtibar bagi semua atlet kita di Malaysia, dimana semua atlet kita harus sentiasa bersemangat dan menanamkan azam yang kuat untuk mencapai target yang telah disasarkan sekaligus mengharumkan nama negara kita, Malaysia.

Penantian yang lama, ditambah usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi, InsyaAllah akan membuahkan hasil yang positif. Yang penting, jangan biarkan semangat kita patah dan luntur dek kegagalan dan kekalahan kerana disebalik kegagalan dan kepahitan merasai kekalahan, pasti kan kunjung tiba kemanisan kejayaan hasil dari kegigihan dan kesabaran...

Seni Mempertahankan Diri Satu Keperluan

Generasi muda kini terutamanya remaja dan belia digalakkan mempelajari seni mempertahankan diri sebagai satu asas persediaan menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini ke atas diri mereka. Melalui pemahaman dan mempelajari seni mempertahankan diri, secara tidak langsung ia meningkatkan kepekaan dan lebih berwaspada pada persekitaran di sekeliling mereka.

Seni mempertahankan diri perlu dipelajari oleh remaja mahupun golongan dewasa terutama golongan wanita yang sering menjadi mangsa manusia yang tidak berhati perut. Dengan mempelajari seni mempertahankan diri, ia mampu meningkatkan daya ketahanan fizikal mahupun mental disamping meningkatkan keyakinan ketika berhadapan dengan situasi yang mencemaskan dan membahayakan keselamatan diri dimana mereka yang dilengkapi seni mempertahankan diri mampu berfikir dengan tenang dan menghadapi situasi tersebut dengan bijaksana.

Selain itu juga, dengan mendalami seni mempertahankan diri, ia membantu mendisiplinkan diri pelatih dan ia juga sebagai satu senaman yang menyihatkan badan dan pelatih dapat memanfaatkan masa dengan lebih baik iaitu dengan mengisi masa mereka dengan mempelajari seni mempertahankan diri.

Fahaman sesetengah ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka menyertai dan menpelajari seni mempertahankan diri kerana bimbang anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti atau gejala buli harus dikikis kerana seni mempertahankan diri sangat bermanfaat kepada anak-anak mereka sebagai satu benteng mempertahankan diri dari diserang.

Ibu bapa harus faham bahawa setiap seni mempertahankan diri bukan sahaja mengajar bagaimana untuk mempertahankan diri dari serangan dan membalas serangan, tetapi elemen seperti tatasusila, adab sopan, moraliti dan juga nilai-nilai murni juga ada diterapkan oleh mahaguru mahupun sifu yang mengajar agar pelatih bukan sahaja mahir dalam seni mempertahankan diri bahkan mereka juga tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk dan memanfaatkan apa yang mereka pelajari semaksima mungkin.

Pemotongan Gaji - Hukuman Yang Membina?

Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah mengeluarkan kenyataan berbentuk amaran kepada pemain-pemain skuad negeri itu agar menjaga disiplin mereka atau bersedia menghadapi tindakan pemotongan gaji jika lewat hadir ke sesi latihan. Amaran yang dikeluarkan oleh Presiden PBSNT Datuk Che Mat Jusoh ini bertujuan agar pemain-pemain skuad itu serius dalam menghadapi saingan Piala Malaysia dimana pemain yang lewat hadir 10 minit dari masa latihan yang telah ditetapkan, sebanyak RM100 akan dipotong dan diikuti RM50 jika lewat 5minit lagi dan RM50 bagi minit-minit yang berikutnya. Tetapi, sejauh manakan hukuman yang dikenakan ini mampu mengubah sikap sambil lewa pemain-pemain tersebut?

Dalam hal ini, pada pandangan saya, ia merupakan satu tindakan yang berasas dan wajar dilaksanakan bagi memastikan pemain-pemain mengambil serius terhadap karier mereka kerana ini melibatkan jumlah wang yang banyak. Selain itu, wang yang diberikan kepada pemain diberikan kepada yang wajar menerima sahaja dan ini dapat mengelakkan pembaziran.

Adalah lebih baik, wang yang diberikan kepada pemain yang tidak berdisiplin ini diberikan kepada pemain yang memberikan menonjolkan persembahan yang baik dalam pertandingan dan perlawanan yang mereka sertai.

Tujuan dilaksanakan hukuman tersebut agar pemain boleh memulakan dan menamatkan latihan mereka lebih awal agar pemain tidak terlajak menunaikan solat maghrib jika latihan tersebut dijalankan pada waktu petang. Ini juga bertujuan agar pemain lebih cergas dan tahu menghargai masa yang telah ditetapkan dimana pemain akan lebih pandai menguruskan masa mereka disamping memperolehi wang gaji dengan lebih berkat lagi.

Tidak mustahil, jika mereka sentiasa mencari keberkatan dalam misi mereka untuk mencapai matlamat mereka, InsyaAllah, persembahan mereka akan bertambah baik dan hati-hati mereka akan lebih tenang dalam menghadapi apa jua situasi yang bakal mereka hadapi.

Thursday, July 17, 2008

Program Kemasyarakatan - Bersukan Mengeratkan Silaturrahim

Dahulu, ketika saya masih di zaman kanak-kanak, di zaman 90-an, kami, kanak-kanak, belia mahupun bapa-bapa, ibu-ibu mahupun orang-orang tua, mengisi hujung minggu dengan mengadakan aktiviti seperti penganjurkan pertandingan sepak takraw, pertandingan wau, hari keluarga, gotong royong dan lain-lain. Boleh dikatakan pada ketika itu, masalah sosial seperti mat rempit, bohsia, bohjan dan lain-lain yang melibatkan remaja dan belia sangat minimum dibandingkan masa kini. Selain itu, diadakan juga program seperti pertandingan kampung tercantik, kampung terbersih, kampung teraktif dan lain-lain program kampung yang mana sangat membantu dalam usaha untuk mengeratkan silaturrahim sesama penduduk kampung.

Walaubagaimanapun, kini, tradisi serta amalan itu semakin pudar, semakin tidak mendapat sambutan dan semakin kelam dan suram ditelan arus masa dan permodenan kini. Kanak-kanak kini tidak lagi seaktif dan sekreatif kanak-kanak zaman dahulu. Belia kini sudah semakin kurang yang boleh diambil sebagai belia harapan, ibu-bapa kini sibuk melayan kerja yang bertimbun sehinggakan tiada masa lagi untuk melakukan aktiviti luar bersama anak-anak. Orang-orang tua pula ditinggalkan kesyunyian, meniti hari-hari berlalu. Tiada lagi kemeriahan seperti dahulu. Yang lebih parah lagi, masyarakat kini tidak lagi mengamalkan sikap tegur-menegur dijalan, salam-bersalamman hatta ada yang tidak mengenali jiran sebelah rumah.

Jika dikaji dalam pelbagai sudut, aktiviti sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada belia tetapi kepada masyarakat sekeliling. Program sebegini bukan sahaja untuk tujuan mengisi masa lapang masyarakat dan mengurangkan masalah sosial hasil penglibatan golongan belia, dalam masa yang sama ia juga boleh dijadikan gelanggang untuk mencari bakat baru, mengeratkan silaturrahim sesama manusia, disamping memupuk semangat kekitaan di dalam diri kita.

Tradisi sebegini harus "dihidupkan" semula sebagai satu usaha untuk mengurangkan masalah sosial belia muda-mudi kita disamping memupuk kembali silaturrahim agar masyarakat yang berkualiti dapat dilahirkan dalam usaha mencapai kecemerlangan sebuah negara yang aman dan harmoni.

Tuesday, July 15, 2008

(off record) renungan bersama

Musibah, kesusahan dan kesulitan seringkali menjadikan kita keluh kesah, bimbang, takut dan resah sehinggakan ia mampu menyebabkan kita stress dan kurang motivasi diri. Pernah saya terbaca dalam satu kisah, dimana Saidina Ali ada berkata, orang yang beruntung adalah mereka yang bersyukur pada nikmat yang diterimanya dan bersabar dan redha jika ditimpa kesusahan. Tersentuh hati saya pada kata-kata Saidina Ali ini, kerana saya mengakui, bukan mudah bagi diri saya untuk melakukan apa yang dikatakan oleh beliau.

Apa yang sering terjadi, bila musibah menimpa, keluh kesah, merungut, menyalahkan orang lain terdetik dihati kecil yang terdorong oleh hawa nafsu, egois serta sifat tidak redha dengan kesulitan yang dihadapi. Tapi diri, pernahkan dikau memikirkan bahawa dikau lebih beruntung dari insan yang lain. Yang saban hari bergelumang dengan musibah, kesulitan dan kesusahan yang tidak sama sekali boleh dibandingkan dengan apa yang dikau rasa. Wahai diri.. pernahkah dikau merasa betapa deritanya manusia di bumi seperti Palestin, Afghanistan, Kashmir dan lain-lain tempat yang dilanda peperangan dan musabah..

Sedarlah diri!! Dikau jauh lebih beruntung dari mereka di sana.. Bersyukurlah..Kerana kurangnya rasa syukur dalam diri, menyebabkan dikau sering keluh kesah dan gelisah. Oleh itu, selalulah bermuhasabah dan banyakkanlah berfikir dengan akal yang telah dikurniakan.kerana..tanpa berfikir, dikau termasuk bersama golongan2 yang rugi dan sia-sia..

Sunday, July 13, 2008

Asah bakat biar dari rebungnya

Program mencari bakat muda di dalam arena sukan kini semakin banyak dijalankan dalam usaha untuk memajukan prestasi seterusnya mengembalikan kegemilangan sukan di Malaysia. Dalam kenyataan akhbar baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menggesa agar diadakan lebih banyak program mencari bakat muda agar dapat diasah bakat-bakat mereka seawal usia muda. Langkah dan gesaan ini merupakan salah satu inisiatif yang harus disokong kerana remaja kita bukan sahaja tidak mensia-siakan bakat mereka malahan mereka dapat dipupuk untuk mencapai kejayaan yang lebih jauh lagi, bukan sahaja diperingkat negara malahan diperingkat dunia.

Target FAS dalam mencungkil bakat ini adalah seawal 5 tahun hingga 12 tahun merupakan satu tindakan yang bijak kerana pada usia ini, seorang budak mudah dididik dan merupakan peringkat dimana seorang budak masih kuat rasa ingin tahu mereka. Jika bakat mereka diasah dan dicorakkan dengan betul, tidak mustahil 20 tahun dari sekarang, Malaysia mampu melahirkan bakat muda yang berkredibiliti dan bertaraf antarabangsa.

Dalam usaha mencungkil bakat muda, tumpuan harus diberi bukan sahaja dari sudut kekuatan fizikal dan kemahiran sahaja, tetapi harus diberi penekanan lebih kepada spiritual dan mentaliti mereka agar mereka mampu berfikir dan membuat keputusan yang tepat disamping mempunyai motivasi diri dalam usaha memajukan diri untuk mencapai kecemerlangan. Perlu diingat juga, disiplin harus dititik beratkan dan dilaksanakan secara konsisten tanpa pilih kasih kepada sesiapapun agar apabila mereka dewasa kelak, mereka mampu mengatur masa mereka dengan bijak dan sistematik.

Hal ini bagi mengelak tradisi datang latihan lewat, kurang daya ketahanan mental, tidak serius dalam latihan dan ketika beraksi dan lain-lain masalah yang ada pada diri atlet-atlet kita kini. Dengan ini, usaha untuk mencorak dan mendidik bakat muda tidak menjadi sia-sia atau boleh dikatakan sekadar angan-angan mat jenin atau lebih tepat, kata bidalan "hangat-hangat tahi ayam".

Semakin besar kepala

Kalau dahalu, kita dapat lihat, pemandu trailer agak berhemah ketika memandu di jalanraya tetapi kini, bagaikan pemandu F1 yang ingin memenangi pelumbaan. Cuma silapnya, treck yang dipilih tidak bersesuaian dengan jenis kenderaan gergasi ini. Mahu tidaknya, pemandu trailer zaman kini sudah berani mencelah-celah dengan kelajuan yang tinggi sehinggakan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Minggu lepas, saya terbaca di dada akhbar, sebuah trailer merempuh kereta peronda polis kerana gagal mengawal trailer yang sedang laju dipandu. Kejadian berlaku di Chemor, Perak. 3 minggu sebelum itu, sebuah trailer "menyapu bersih" beberapa buah kenderaan di Lembah Klang. Nampaknya pemandu trailer kini semakin besar kepala! Mungkin kerana membawa kenderaan besar agaknya mereka terasa gah di jalanraya. Kini, pemandu trailer bukan sahaja laju di jalan besar seperti "highway" tetapi sehinggakan jalan kampung yang kecil pun dibelasahnya bawa laju mengalahkan mat rempit.

Statistik kemalangan jalanraya dari tahun 2006 hingga 2007 mencatatkan jumlah kemalangan melibatkan trailer adalah sebanyak 229 kes kematian. Yang kita bimbangkan pengguna jalan yang lain seperti penunggang motosikal, pemandu kereta dan lain-lain kenderaan. Untuk menangani masalah ini dari berlarutan, pihak berkuasa harus memperketatkan penguatkuasaan undang-undang seperti menarik balik lesen memandu pemandu trailer yang tidak makan saman ini. Selain itu, pihak berkuasa juga harus memperketatkan pengeluaran lesen memandu kenderaan besar kepada mereka dengan memastikan mereka benar-benar faham dengan undang-undang jalanraya dan bersedia untuk diambil tindakan jika melakukan kesalahan.

Apapun usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak berkuasa, ia tidak dapat mencapai objektifnya jika sikap pemandu trailer masih terus di takuk lama, degil dan tidak bertimbang rasa. Oleh itu, sedarlah wahai pemandu trailer, cara pemanduan anda bukan sahaja melibatkan keselamatan nyawa anda, tetapi pengguna jalanraya yang lain juga. Patuhilah peratuaran jalanraya bak kata kempen keselamatan jalanraya, "Pandu cermat jiwa selamat", "Anda mampu mengubahnya!!"