Sunday, July 13, 2008

Asah bakat biar dari rebungnya

Program mencari bakat muda di dalam arena sukan kini semakin banyak dijalankan dalam usaha untuk memajukan prestasi seterusnya mengembalikan kegemilangan sukan di Malaysia. Dalam kenyataan akhbar baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menggesa agar diadakan lebih banyak program mencari bakat muda agar dapat diasah bakat-bakat mereka seawal usia muda. Langkah dan gesaan ini merupakan salah satu inisiatif yang harus disokong kerana remaja kita bukan sahaja tidak mensia-siakan bakat mereka malahan mereka dapat dipupuk untuk mencapai kejayaan yang lebih jauh lagi, bukan sahaja diperingkat negara malahan diperingkat dunia.

Target FAS dalam mencungkil bakat ini adalah seawal 5 tahun hingga 12 tahun merupakan satu tindakan yang bijak kerana pada usia ini, seorang budak mudah dididik dan merupakan peringkat dimana seorang budak masih kuat rasa ingin tahu mereka. Jika bakat mereka diasah dan dicorakkan dengan betul, tidak mustahil 20 tahun dari sekarang, Malaysia mampu melahirkan bakat muda yang berkredibiliti dan bertaraf antarabangsa.

Dalam usaha mencungkil bakat muda, tumpuan harus diberi bukan sahaja dari sudut kekuatan fizikal dan kemahiran sahaja, tetapi harus diberi penekanan lebih kepada spiritual dan mentaliti mereka agar mereka mampu berfikir dan membuat keputusan yang tepat disamping mempunyai motivasi diri dalam usaha memajukan diri untuk mencapai kecemerlangan. Perlu diingat juga, disiplin harus dititik beratkan dan dilaksanakan secara konsisten tanpa pilih kasih kepada sesiapapun agar apabila mereka dewasa kelak, mereka mampu mengatur masa mereka dengan bijak dan sistematik.

Hal ini bagi mengelak tradisi datang latihan lewat, kurang daya ketahanan mental, tidak serius dalam latihan dan ketika beraksi dan lain-lain masalah yang ada pada diri atlet-atlet kita kini. Dengan ini, usaha untuk mencorak dan mendidik bakat muda tidak menjadi sia-sia atau boleh dikatakan sekadar angan-angan mat jenin atau lebih tepat, kata bidalan "hangat-hangat tahi ayam".

1 comment:

aiShaH said...

Bagus juga pendapat you, mana tahu kalau dari kecil kita latih budak2 ni tak mustahil mereka boleh jadi juara dunia.. macam apa yang dibuat di negara China