Sunday, July 13, 2008

Semakin besar kepala

Kalau dahalu, kita dapat lihat, pemandu trailer agak berhemah ketika memandu di jalanraya tetapi kini, bagaikan pemandu F1 yang ingin memenangi pelumbaan. Cuma silapnya, treck yang dipilih tidak bersesuaian dengan jenis kenderaan gergasi ini. Mahu tidaknya, pemandu trailer zaman kini sudah berani mencelah-celah dengan kelajuan yang tinggi sehinggakan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Minggu lepas, saya terbaca di dada akhbar, sebuah trailer merempuh kereta peronda polis kerana gagal mengawal trailer yang sedang laju dipandu. Kejadian berlaku di Chemor, Perak. 3 minggu sebelum itu, sebuah trailer "menyapu bersih" beberapa buah kenderaan di Lembah Klang. Nampaknya pemandu trailer kini semakin besar kepala! Mungkin kerana membawa kenderaan besar agaknya mereka terasa gah di jalanraya. Kini, pemandu trailer bukan sahaja laju di jalan besar seperti "highway" tetapi sehinggakan jalan kampung yang kecil pun dibelasahnya bawa laju mengalahkan mat rempit.

Statistik kemalangan jalanraya dari tahun 2006 hingga 2007 mencatatkan jumlah kemalangan melibatkan trailer adalah sebanyak 229 kes kematian. Yang kita bimbangkan pengguna jalan yang lain seperti penunggang motosikal, pemandu kereta dan lain-lain kenderaan. Untuk menangani masalah ini dari berlarutan, pihak berkuasa harus memperketatkan penguatkuasaan undang-undang seperti menarik balik lesen memandu pemandu trailer yang tidak makan saman ini. Selain itu, pihak berkuasa juga harus memperketatkan pengeluaran lesen memandu kenderaan besar kepada mereka dengan memastikan mereka benar-benar faham dengan undang-undang jalanraya dan bersedia untuk diambil tindakan jika melakukan kesalahan.

Apapun usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak berkuasa, ia tidak dapat mencapai objektifnya jika sikap pemandu trailer masih terus di takuk lama, degil dan tidak bertimbang rasa. Oleh itu, sedarlah wahai pemandu trailer, cara pemanduan anda bukan sahaja melibatkan keselamatan nyawa anda, tetapi pengguna jalanraya yang lain juga. Patuhilah peratuaran jalanraya bak kata kempen keselamatan jalanraya, "Pandu cermat jiwa selamat", "Anda mampu mengubahnya!!"

1 comment:

aiShaH said...

Good info shidi..